Viral

Tular kes kahwin dua wanita serentak, pemuda dedah kenapa salah seorang pengantin MONYOK – “Pakcik saya pengsan lima minit”

KECOH di media sosial apabila beberapa keping gambar seorang lelaki berkahwin dengan dua wanita secara serentak untuk hidup berpoligami tular.

Gambar yang dimuatnaik Jimmy Jim di Facebooknya pada Jumaat lalu dengan kapsyen ‘Selamat pengantin baru… pecah rekod keluarga… sekali kahwin terus dua bini. Tahniah sepupuku… Apa bilang P.Ramlee… jarang-jarang’ mendapat lebih 6,000 perkongsian di media sosial itu.

Jimmy Jim atau nama sebenarnya Jimmy Satan ketika dihubungi mStar berkata pengantin lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Amin merupakan sepupu terdekatnya yang menetap di Semporna, Sabah.

“Amin sebenarnya sudah bertunang dengan kekasihnya satu kampung, Lena Saleh. Namun mereka bercinta jarak jauh, seorang kerja di Kota Kinabalu dan seorang lagi di Pulau Mabul.

“Ketika kerja di Pulau Mabul, Amin jatuh cinta dengan Aini Said (isteri pertama). Jadi mereka merancang untuk bernikah tetapi perkara itu diketahui tunangnya (Lena).

Pasangan ini dinikahkan serentak pada Jumaat lalu.

“Tunang Amin (Lena) pun balik kampung dan dia juga beritahu mahu bernikah kerana tidak sanggup berpisah dengan sepupu saya. Atas sebab itu mereka dinikahkan serentak pada Jumaat lalu,” katanya.

Namun Jimmy atau lebih mesra disapa Jim turut berkongsi kisah bapa Amin tiba-tiba pengsan selepas dimaklumkan anaknya mahu beristeri dua serentak.

“Pakcik saya (bapa pengantin lelaki) pengsan dalam masa lima minit sebab terkejut anak dia mahu bernikah dengan dua perempuan.

“Sebab itu saya tulis dekat Facebook saya dia pecah rekod keluarga kami dan kaum Suluk di Sabah. Benda macam ni jarang-jarang berlaku dan belum pernah dibuat orang zaman sekarang.

“Pernikahan itu dipersetujui ketiga-tiga keluarga setelah mendapat pandangan Tok Kadi, ketua kampung dan penduduk di situ,” katanya.

Dalam pada itu, Jim turut menafikan dakwaan bahawa sepupunya itu menggunakan sebarang ilmu untuk memudahkan urusan perkahwinannya.

Kedua-dua pengantin perempuan mempunyai hubungan baik antara satu sama lain.

“Ramai tanya sepupu saya pakai ilmu apa? Saya kata kami tak pakai ilmu apa-apa. Itu ketentuan Allah… jodoh.

“Berdasarkan cerita nenek moyang kami, tradisi (kahwin serentak) pernah berlaku tetapi dalam kalangan keturunan bangsawan dan juga pahlawan perang.

“Zaman dah berubah jadi tak ada lagi orang buat macam ni. Tapi sepupu saya berjaya memecah rekod tradisi yang diamalkan sejak berabad lama itu,” katanya.

Pakcik saya (bapa pengantin lelaki) pengsan dalam masa lima minit sebab terkejut anak dia mahu bernikah dua perempuan serentak.

JIMMY SATAN

Mengenai salah seorang pengantin perempuan yang didakwa kononnya tidak gembira dengan perkahwinan itu berdasarkan riyak wajahnya dalam gambar, Jim berkata kedua-dua pengantin perempuan yang masing-masing berusia 20 tahun tidak bermusuhan.

“Kedua-dua pengantin OK tak ada gaduh-gaduh. Pakcik saya kata mereka bahagia. Alhamdulillah.

“Muka isteri kedua (Lena) nampak monyok dalam gambar tu sebenarnya bukan apa… dia rasa malu sebab belum pernah ada orang buat macam mereka.

Pengantin perempuan setuju untuk hidup bermadu.

“Dan sebenarnya muka dia memang macam tu… nampak garang sikit. Tapi dia OK dan rela hidup bermadu kerana tidak sanggup berpisah dengan sepupu saya,” katanya.

Jim yang bekerja sebagai pemandu lori di Kota Kinabalu tidak menduga gambar perkahwinan sepupunya di Facebook mendapat perhatian ramai.

“Saya sebenarnya tak dapat hadir ke majlis mereka kerana ada urusan kerja. Jadi kebetulan ada seorang sepupu kami yang datang dan saya minta dia ambil gambar dan video.

“Jadi saya pun post gambar dan video kahwin yang dia ambil di Facebook untuk tatapan ahli keluarga jauh yang tidak dapat hadir ke majlis pernikahan mereka.

“Tapi saya tak sangka pula boleh viral. Sampaikan media dari Singapura dan Indonesia turut hubungi saya untuk bertanyakan kisah perkahwinan unik ini,” katanya.

Kredit: mStar/hiburanallnew

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *